Berita Semasa

YDM orak langkah bantu kukuhkan ekonomi masyarakat

KUALA LUMPUR – Yayasan Dato’ Malaysia (YDM) komited dalam usaha memberikan sumbangan kepada masyarakat di negara ini dengan rantaian perniagaan yang dibina dalam kalangan ahlinya.

Menurut Presidennya, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, usaha tersebut selari dengan objektif YDM dalam membantu orang ramai khususnya menerusi sokongan terhadap usahawan muda dan syarikat pemula untuk berkembang.

“Usahasama perniagaan juga berjaya dilahirkan menerusi YDM di mana peluang baharu datang dengan pelbagai bentuk kerjasama. Inilah jaringan yang kami cuba wujudkan demi memperkukuh lagi ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penganugerahan watikah ahli kehormat YDM bagi 23 keahlian baru yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.

Sebagai rekod, keahlian yayasan hampir mencapai 500 orang dan dijangka meningkat kepada 1000 ahli pada masa akan datang.

Selain itu, ahli-ahli yayasan ini terdiri daripada pelbagai profesion seperti ahli perniagaan, doktor serta ahli akademik.

Mengulas mengenai syarat keahlian yayasan itu, Syed Yusof berkata, keahlian yayasan itu tidak terhad kepada mereka yang berpangkat Datuk sahaja, malah ia terbuka kepada individu yang memenuhi kriteria tertentu khususnya sumbangan mereka kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.

“Setiap ahli yayasan dipilih berdasarkan sumbangan mereka kepada masyarakat, yayasan, dan sekaligus membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Yusof berkata, setakat ini, YDM kini dianggotai lebih daripada 400 ahli dan pihaknya menjangkakan ia akan meningkat kepada lebih 1000 ahli pada penghujung tahun ini.

“Kekuatan YDM terletak kepada anggotanya sendiri di mana kami mempunyai kekuatan ekonomi dan komited dalam memberikan perkhidmatan sosial kepada komuniti yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button