Berita SemasaBisnes & Ekonomi

CBP tawar pengurangan bayar balik sehingga 50 peratus melalui Kempen PULIH 2.0

KUALA LUMPUR – Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) baru-baru ini memperkenalkan Kempen Pemulihan Kewangan Pelanggan CBP (PULIH 2.0) bagi membantu para pelanggan meringankan beban bayaran semula pembiayaan peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2023 itu diperkenalkan semula bagi membantu pelanggan yang berdepan dengan kesulitan kewangan.

“Kempen PULIH 2.0 mensasarkan pelanggan CBP yang berdepan masalah pengurangan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan asal.

“Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pelanggan dengan hanya membayar separuh (50 peratus) daripada ansuran asal pembiayaan selama tiga tahun (36 bulan) sekiranya permohonan diluluskan.

“Penambahbnaikan pada PULIH 2.0 adalah penurunan peratus pengurangan pendapatan pelanggan daripada 25 peratus pada tahun lalu kepada 10 peratus tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Khairil Anuar berkata, inisiatif itu juga diharap dapat memberi peluang kepada pelanggan menguasai situasi kewangan dan merangka pelan pembayaran semula pembiayaan secara peribadi melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan pelanggan.

Melalui tawaran yang akan bermula pada 1 Jun sehingga 31 Disember 2024 itu katanya, CBP berharap para pelanggan dan juga orang ramai dapat meningkatkan kesedaran dalam menguruskan kewangan.

Katanya, permohon kempen itu terbuka kepada pelanggan CBP yang bukan seorang muflis atau bankrap, tidak berkemampuan mengurus hutang, pendapatan terjejas, mempunyai pendapatan bersih yang positif (bekerja / berhenti kerja dan mempunyai baki bersih positif).

Pemohon juga disyaratkan tidak memperolehi award tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau penghakiman saman sivil.

Maklumat lanjut mengenai Kempen PULIH 2.0 boleh diperolehi dengan menghubungi Bahagian Pemulihan CBP di talian 03-41442750 / 03-41442650 / 03-41442450.

Show More

Related Articles

Back to top button