Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kes Farah Kartini: Polis ambil keterangan pekerja kebun ubi

SLIM RIVER – Polis telah merekodkan keterangan beberapa pekerja di sebuah kebun ubi di Slim River dalam penyiasatan kes pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Menurut sumber, polis telah pergi ke kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River petang semalam setelah soal siasat terhadap suspek mendedahkan bahawa dia telah melawat kebun tersebut serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian berlaku.

“Polis bersama suspek ke kebun ubi tersebut semalam dan telah mengambil keterangan dari beberapa pekerja yang terdiri daripada lelaki tempatan dan warga asing bagi membantu siasatan,” seperti yang di laporkan Harian Metro hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan bahawa sebuah kebun ubi menjadi fokus pasukan forensik dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencari bukti berkaitan pembunuhan Nur Farah Kartini.

Siasatan mendapati bahawa kebun ubi tersebut diusahakan secara sambilan oleh suspek.

Pada Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di kawasan ladang sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, sekitar jam 6 petang.

Suspek, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis, telah ditahan pada hari yang sama.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button