Jenayah & Mahkamah

Polis buru lelaki cuba larikan dua kanak-kanak perempuan

JERAM, Selangor – Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam cubaan melarikan dua kanak-kanak di Taman Ikan Emas, di sini semalam.

Menurut Pemangku Polis Daerah Kuala Selangor, DSP Mohd Ambia Nordin, kejadian tersebut berlaku ketika dua beradik itu sedang bermain di Jalan Ikan Emas 2, di sini.

Laporan polis kemudian dibuat pada pukul 6.30 petang semalam oleh ibu mangsa di Balai Polis Jeram.

“Polis kemudian berjaya menemui kanak-kanak berkenaan pada sekitar pukul 7.45 malam berhampiran kawasan kediaman mereka di Taman Kelisa.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya, hari ini.

Setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan kanak-kanak terbabit serta penjaga mereka.

Beliau menambah, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, tular di media sosial satu hantaran mengenai dua kanak-kanak perempuan berusia 8 dan 6 tahun dilarikan oleh seorang lelaki yang menaiki Perodua Bezza hitam.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak yang berada di luar rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Show More

Related Articles

Back to top button