Jenayah & Mahkamah

Suspek kes tembak isteri direman tujuh hari

KANGAR – Suspek lelaki yang dipercayai menembak mati isterinya di sebuah rumah di Simpang Empat, di sini semalam, dikenakan tahanan reman selama tujuh hari.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor dalam sebuah wad di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bermula hari ini sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, reman terpaksa dilakukan di HTF berikutan suspek, yang juga anggota polis berpangkat Lans koperal itu dirawat dan bakal menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital tersebut.

Beliau seterusnya memaklumkan, pihaknya menyiasat motif suspek, 27,  bertindak sedemikian dari pelbagai aspek sama ada suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah, faktor kemurungan atau permasalahan membabitkan mental.

Difahamkan, sebelum insiden itu berlaku, tiada sebarang pergaduhan mahupun pertikaman lidah berlaku antara pasangan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi semalam, suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh isteri mangsa yang juga seorang suri rumah.

Mangsa ditembak dengan lebih daripada lima das tembakan, menggunakan pistol Walther P99 dari jarak dekat dan terkena bahagian bawah mata kiri mangsa.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button