Kerajaan tidak akan kompromi dengan anggota PBT yang lindungi warga asing – Dr Zaliha
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras salah laku melindungi warga asing.
Beliau berkata, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam kegiatan sedemikian.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak, siapa sahaja kita akan ambil tindakan dan kita pun ada juga jawatankuasa atau unit khusus untuk melihat dari sudut disiplin dan sebagainya (jika ada anggota penguat kuasa) melanggar tata kelola dan urus tadbir yang baik.
“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dan jika benar berlaku apa-apa dan ada penemuan tertentu, kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM,” katanya, hari ini.
Laporan media semalam menyebut, SPRM akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menahan anggota penguat kuasa PBT yang melindungi premis perniagaan warga asing.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya turut dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan menjalankan operasi terbabit di sekitar ibu negara.
Difahamkan, SPRM turut menyasarkan warga tempatan yang ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada warga asing.