Berita Semasa

Kementerian Digital gesa individu, entiti perniagaan terokai internet kelajuan ultra tinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital menggesa individu, entiti perniagaan dan organisasi di negara ini untuk menerokai internet kelajuan ultra tinggi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, beliau ingin melihat lebih banyak kajian kes digital daripada semua sektor dan industri, termasuk yang menggunakan Internet kelajuan ultra.

“Ini akan memberi orang ramai, dan bakal pelabur, gambaran tentang keupayaan Malaysia. Kesalinghubungan ultra-kelajuan ini menunjukkan keupayaan dan faedah termaju Internet 10Gbps.

“Ia juga merupakan bukti infrastruktur Internet Malaysia yang pantas dan boleh dipercayai, dan impaknya yang mengubah masa depan digital Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau pada pameran jalur lebar 10Gbps pertama Malaysia oleh telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan keselamatan ViewQuest petang ini.

Gobind (dua kiri) menghadiri pameran jalur lebar 10Gbps pertama Malaysia oleh telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan keselamatan ViewQuest.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, terdapat pelbagai manfaat dan peluang mampu diperoleh menerusi internet ultra kelajuan tinggi khususnya dalam pembangunan ekonomi.

“Internet ultra kelajuan tinggi akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi merentas semua industri, seperti e-dagang, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan dan juga perkhidmatan kerajaan. Perkhidmatan dan pengeluaran akan 10 kali lebih pantas, jika tidak lebih.

“Lebih penting lagi, Internet menghubungkan rakyat Malaysia. Kesalinghubungan ultra kelajuan sebegitu penting untuk memperkasakan rakyat Malaysia supaya celik digital, dan menggunakan teknologi digital dengan potensi sepenuhnya, tanpa mengira lokasi mereka.”

Tambah Gobind, entiti perniagaan dan individu untuk perlu melindungi aset digital mereka dan kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat secara digital di Malaysia.

“Akta Keselamatan Siber telah diluluskan di Parlimen pada April. Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDP) 2010 telah diluluskan semalam di Dewan Rakyat, bagi menambah baik peruntukan berkaitan pemprosesan data peribadi agar selaras dengan piawaian dan amalan antarabangsa.

“Undang-undang dan dasar untuk melindungi semua pihak adalah amat penting kerana teknologi digital terus berkembang. Kita perlu mewujudkan kepercayaan digital memandangkan semakin banyak syarikat multinasional melabur secara besar-besaran di Malaysia, menubuhkan pusat data dan kemudahan digital untuk terus memacu ekonomi negara.

Beliau berkata, pembaharuan dasar ini, pelaburan berteraskan data dan pembinaan infrastruktur adalah antara sebab yang menyebabkan JP Morgan meningkatkan penarafan Malaysia daripada kurang wajaran kepada neutral.

“Kerajaan dan Kementerian Digital berada di landasan yang betul,” tambah Gobind.

Show More

Related Articles

Back to top button