Kementerian Komunikasi umum Pakej Rahmah Prabayar Siswa
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengumumkan penawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini boleh dilanggan mulai 16 Ogos ini menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).
Jelas Fahmi, pakej tersebut ditawarkan pada harga lebih rendah, iaitu tidak melebihi RM30 dengan minimum permulaan data sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
“Tawaran pakej ini merupakan hasil perluasan Pakej Internet Mudah Alih (prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun 2023,” katanya dalam ucapan beliau sebelum merasmikan IPRM Ethical and Responsible Communication Conference di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata, usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani dalam menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar semasa sesi pengajian dan pembelajaran.
Sementara itu, Fahmi berkata, maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Senarai lengkap IPTA dan ILKA yang terpilih akan dimaklumkan menerusi laman web Kementerian Komunikasi di https://www.komunikasi.gov.my/