Euro 2024: Yamal ‘dilarang’ bermain jika final diheret ke masa tambahan?
BERLIN – Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal tidak akan dibenarkan berada di atas padang sekiranya perlawanan akhir menentang England diheret ke masa tambahan, awal pagi esok.
Menurut akhbar tabloid The Sun, ini berikutan undang-undang Jerman yang tidak membenarkan individu berusia di bawah 18 tahun untuk bekerja selepas pukul 11 malam (waktu tempatan) setiap Ahad.
Undang-undang tersebut memperuntukkan denda sehingga €30,000 (RM152,923) sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
Bagaimanapun, undang-undang itu dijangka tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan jurulatih La Furia Roja, Luis de la Fuente dalam menurunkan kesebelasan utamanya pada perlawanan akhir awal pagi esok.
Yamal,17, merupakan bintang muda yang sedang meningkat naik, dan kelincahannya di padang merupakan satu aset buat pasukan Sepanyol.
Sementara itu, skuad England akan menerima ‘durian runtuh’ sebanyak £1 bilion (RM6.06 bilion) sekiranya muncul juara Euro 2024.
Difahamkan, jumlah tersebut merupakan nilai keseluruhan bonus, perjanjian dan tawaran yang akan diterima oleh semua pemain termasuk pegawai pasukan dan jurulatih, Gareth Southgate.