Johari kekal dengan keputusan tiada kekosongan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu
KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tetap dengan keputusannya yang mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan kerusi disandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.
“Saya bukan posmen, bila saya terima apa juga yang telah diberi pada saya, seperti disebut Ahli Parlimen Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee), saya akan pasti… saya pasti… saya kaji semua, saya baca semua kenyataan-kenyataan… mengenai Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan).
“Saya mengambil keputusan, keputusan kekal seperti yang dimaklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab
persoalan dibangkitkan Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu berhubung keputusan Johori menerusi surat yang diutuskan kelmarin.
Kelmarin, media melaporkan, enam kerusi yang disandang Ahli Parlimen Bersatu yang kini merupakan bekas ahli Bersatu tidak perlu dikosongkan.
Hari ini, keenam-enam bekas Ahli Parlimen Bersatu memutuskan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas di kawasan masing-masing dan tidak akan menyertai mana-mana parti parti politik lain selepas ini.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengisytiharkan berlaku kekosongan kerusi untuk keenam-enam kerusi bekas ahli Bersatu.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan yang diberikan oleh Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.