Berita Semasa

Dua beradik maut terhidu asap tebal

Ibu dalam keadaan kritikal

MELAKA – Dua beradik maut dipercayai akibat terhidu asap tebal setelah terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota, di sini hari ini.

Mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan adiknya Nur Riaisha Zahra, 2, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Dalam kejadian sama, ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, kini berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kebakaran disedari berlaku kira-kira pukul 1.30 petang oleh pemilik kedai di tingkat bawah bangunan yang terus menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, kebakaran dikatakan berlaku di tingkat satu premis dan kejadian turut disaksikan oleh pasangan suami isteri yang berada di dalam bilik sewa di tingkat dua.

“Suami isteri itu melihat asap tebal mulai masuk ke dalam bilik dan terus menyelamatkan diri sebelum dibawa ke Hospital Melaka oleh pasukan bantuan yang tiba.

“Hasil pemeriksaan dalam bangunan, pasukan bomba berjaya mengesan dan mengeluarkan tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak dan ibu mereka yang terperangkap di tingkat tiga. Ketiga-tiga beranak itu dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, soal siasat saksi mengatakan tingkat satu sehingga tingkat tiga premis itu mempunyai beberapa buah bilik sewa, namun penyewa lain dipercayai keluar bekerja semasa kejadian berlaku.

Show More

Related Articles

Back to top button