Ambulans terbabas ke dalam parit, dua lelaki cedera parah
KAMUNTING – Empat orang cedera selepas kenderaan ambulans yang dinaiki terbabas ke dalam parit berdekatan Plaza Tol Kamunting menghala ke Taman Berkat, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting, Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Nurmuizzuddin Ahmad Hamide berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 3.30 pagi.
Susulan itu, seramai lapan anggota bomba dari BBP Kamunting telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera Fire Rescue Tander (FRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Terdapat empat orang mangsa terlibat dalam kejadian itu yang menaiki ambulan tersebut. Seorang lelaki telah dikeluarkan daripada kenderaan itu dengan bantuan orang awam.
“Manakala, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan ringan dan dua orang lelaki mengalami kecederaan parah, ketiga-tiganya telah dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Taiping dengan menaiki kenderaan Unit EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan rawatan segera.
Operasi membabitkan kemalangan ambulans milik Hospital Parit Buntar itu ditamatkan pada pukul 4.20 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain di sekitar lokasi.