Berita Semasa

Tahan sakit hampir enam jam kaki tersepit celah batu

JELI – Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir enam jam apabila kaki kirinya tersepit di celah bongkah batu sungai di Kampung Kuala Balah, di sini, semalam.

Kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun bersama sepupunya ke kawasan sungai itu untuk mencari ikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.11 petang.

“Perjalanan menuju ke lokasi agak jauh serta terletak di kawasan pedalaman dan sebaik tiba, kami mendapati mangsa sedang menahan kesakitan akibat kaki yang tersepit.

“Difahamkan, mangsa bersama sepupunya ke kawasan itu untuk mencari ikan dan ketika berjalan menuju ke lokasi, dia memijak batu yang menyokong bongkah batu besar sebelum ia bergerak dan menghimpit lutut mangsa,” katanya, hari ini.

Mohd Adni berkata, 10 pegawai serta anggotanya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan turut mendapat bantuan penduduk kampung serta anggota polis yang berada di lokasi.

Menurutnya lagi, kaki mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan selepas lebih satu jam.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 6.40 petang dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Balah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button