PM sangkal dakwaan pelaburan Google hanya ‘sembang kosong’
KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaburan oleh Google hanya sekadar pengumuman tanpa tindakan susulan.
Anwar berkata, pelaburan berjumlah RM9.4 bilion oleh syarikat teknologi itu di negara ini sudah bermula apabila syarikat itu membuat pembelian sebidang tanah di Selangor.
“Bukan umum sahaja, sudah beli tanah dan dah jalankan…. dah pecah tanah nak buat projek.
“Kita mempercepatkan kelulusan kerana nilai pelaburan Google itu sebanyak RM9.4 bilion,” katanya dalam ucapan perasmian Program Madani Rakyat Zon Timur 2024 di Dataran Sayangi Kuantan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, projek tersebut telah melalui beberapa peringkat awal dan tidak sekadar di peringkat pengumuman semata-mata.
Sehubungan itu, beliau menekankan betapa penting agensi dalam kerajaan meningkatkan kecekapan untuk mempercepatkan proses kelulusan dan pembangunan projek.
“Kalau majlis perbandaran, kerajaan negeri, agensi-agensi persekutuan itu efisien cepat, cepat lah naik.
“Tapi kalau persekutuan, negeri, perbandaran atau di mana-mana lembab, maka lembab lah kemajuannya,” katanya.
Pelaburan Google di negara ini akan membawa manfaat besar kepada ekonomi negara dengan pembukaan peluang pekerjaan dan peningkatan infrastruktur di kawasan terlibat.