VFive Group sasar lipatgandakan program kebajikan
CYBERJAYA – VFive Group akan terus memperkasakan program-program berkonsepkan kebajikan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik di seluruh negara.
Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi merancakkan lagi aktiviti kebajikan yang mereka laksanakan.
“Melalui saluran kebajikan yang kita telah tubuhkan iaitu Yayasan VFive, kita telah berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM8 juta pada tahun 2022.
“Pada tahun ini, kita sasarkan untuk lipatgandakan lagi sumbangan kita kepada RM25 juta,” kata Mohd Syafiq.
Beliau berkata demikian pada majlis jamuan makan malam tahunan VFive Group, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas mengenai peruntukan sumbangan yang disasarkan, Mohd Syafiq berkata aspek keberkatan dan sumbangan kebajikan sememangnya sudah menjadi teras terpenting dalam pembangunan syarikat VFive Group selama ini.
“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa sesungguhnya janji Allah itu pasti, sekiranya lebih banyak kita memberi, maka lebih banyak rezeki yang akan dikurniakan oleh-Nya.
“Sebab itu lah kita letakkan fokus sumbangan ini sebagai salah satu daripada 10 KPI yang kita ingin capai pada tahun 2023”, jelasnya.
Antara inisiatif yang akan diperluaskan lagi menerusi Yayasan VFive termasuklah Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, Sumbangan Bakul Makanan dan pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan.