Taufan Beryl: Naib Presiden Venezuela cedera dihempap pokok
BUENOS AIRES – Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika Taufan Beryl melanda negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kejadian berlaku ketika Rodriguez sedang memantau kerja-kerja pembersihan di negeri Sucre, kawasan yang terjejas teruk akibat taufan tersebut.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, menyatakan bahawa angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang dan salah satunya jatuh menimpa Rodriguez.
“Beliau mengalami hentakan kuat tetapi masih sedar. Beliau kuat dan baru sahaja menulis kepada saya untuk menyampaikan salam,” kata Maduro dalam ucapannya pada hari Selasa.
Taufan Beryl membawa angin berkelajuan lebih 250 kilometer sejam melanda Caribbean, mengakibatkan dua kematian di Venezuela dan merosakkan lebih 600 rumah apabila Sungai Manzanares melimpah.
Kerajaan telah menghantar 3,600 anggota polis dan pekerja bantuan bersama 2,000 tan bekalan ke kawasan yang terjejas di utara negara itu.