KPKT sahut saranan PM mahu kekalkan ciri tempatan dalam pembangunan moden
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pembangunan di negara ini menerapkan identiti dan budaya tempatan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, usaha penerapan identiti dan budaya tempatan itu diterapkan bukan sahaja terhadap bangunan pencakar langit, malah ia turut diaplikasikan dalam pembinaan pasar yang kini mampu dijadikan sebagai pusat pelancongan.
“Saranan Perdana Menteri akan kami dukung bersama yang mana ini adalah seruan yang amat bijaksana dan KPKT. Sebab itu itu KPKT berkerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia bukan sahaja bangunan pencakar langit, malah pasar kita,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 di ibu negara hari ini.
Bersempena ACMROCH 2024, Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 ke-23 juga diunjurkan diadakan sehingga Sabtu ini.
ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Model Bangunan Bermaklumat (BIM) & Sistem Binaan Berindustri (IBS), bahan binaan serta landskap.
Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau menyifatkan Malaysia terdiri daripada kaum yang berbeza dan akan menjadi sesuatu yang malang, jika tidak diaplikasikan elemen tersebut dalam pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, antara usaha yang dilakukan adalah dengan mengadakan pertandingan seni bina anjuran Persatuan Arkitek Malaysia bagi membina Pasar Awam Bukit Mertajam.
“Kita mahu pasar awam kita menjadi destinasi pelancongan bukan untuk tempat beli belah sahaja, Oleh sebab itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Arkitek Malaysia yang bantu kita anjurkan pertandingan tersebut.
“Mana-mana pembinaan pasar baharu di bawah pentadbiran KPKT saya akan pastikan setiap pembinaan pasar yang melebihi RM15 juta wajib ada pertandingan, maka mereka yang menjadi johan, reka bentuknya akan digunakan dan pemenang akan menjadi penasihat,” ujarnya lagi.