Baik pulih lantai Stadium Juara dijangka siap Ogos ini
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang melaksanakan projek membaik pulih dan penukaran lantai di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini.
Ketua Setiausaha KBS, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan bahagian bawah lantai stadium berkenaan yang telah diserang anai-anai.
Katanya, projek yang dijangka siap pada bulan Ogos ini akan memberi manfaat kepada atlet, penggiat dan peminat sukan di seluruh negara.
“Penukaran lantai ini merupakan kali pertama sejak Stadium Juara dibina untuk Sukan Komanwel 1998.
“KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga akan berbincang dengan agensi berkaitan supaya penukaran lantai ini dapat dilaksanakan dengan mampan melalui restorasi kepelbagaian biologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas mengadakan lawatan pemantauan projek menaik taraf Stadium Juara.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil.