Berita Semasa

Segera wartakan peraturan kawal selia industri vape – MMA

CYBERJAYA – Kerajaan digesa menyegerakan pewartaan peraturan mengawal selia industri vape bagi memastikan produk berkenaan tidak dipromosi atau dibeli golongan bawah umur.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata, langkah segera itu perlu diambil susulan terdapat kes mangsa dikaitkan dengan kesan pengambilan rokok elektronik itu termasuk kecederaan kepada paru-paru yang turut dilaporkan melibatkan kanak-kanak.

“MMA mahu kerajaan mempercepatkan pewartaan peraturan ini. Difahamkan bahawa draf peraturan tersebut telah siap sejak hujung tahun lalu, namun sehingga kini belum ada sebarang berita mengenainya dan kita harap penjelasan diberikan oleh pihak kerajaan.

“Kami juga merayu kepada semua ahli Parlimen untuk bersikap tegas dalam isu kritikal ini dengan memberi tekanan kepada kerajaan untuk segera memuktamadkan dan melaksanakan peraturan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Dr. Azizan, ahli Parlimen mempunyai peranan penting dalam memastikan masa depan yang lebih baik kepada generasi muda.

“Pihak kami juga mengharapkan sokongan semua ahli Parlimen dalam menangani isu yang mendesak ini, selain bersedia untuk bekerjasama membendung penggunaan vape ini bagi melindungi generasi muda daripada terkesan bahaya.

“Kesihatan dan kesejahteraan belia harus menjadi keutamaan, melangkaui kepentingan politik,” katanya lagi.

MMA dalam kenyataan yang sama turut menggesa tiga tindakan segera yang diperlu ambil antaranya menghadkan penjualan dan promosi produk vape berhampiran institusi pendidikan bagi mengekang pembabitan golongan muda dalam industri tersebut.

Turut didesak supaya diambil tindakan segera ialah dengan melaksanakan peraturan iklan dan pembungkusan yang ketat bagi mengelak ia menjadi sasaran golongan muda.

“Desakan ketiga ialah segera perketat penguatkuasaan untuk membendung amalan jualan vape dan pemasaran yang menyalahi undang-undang agar ia tidak boleh dibeli oleh mereka yang berumur di bawah 18 tahun,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button