Pilihan Raya Presiden Iran masuki pusingan kedua 5 Julai depan
TEHRAN – Pilihan Raya Presiden Iran akan memasuki pusingan kedua pada 5 Julai depan setelah tiada calon bertanding memperoleh lebih 50 peratus undi ketika keputusan pengundian pusingan pertama diumumkan, semalam.
Laporan Reuters yang memetik kenyataan jurucakap ibu pejabat pilihan raya, Mohsen Eslami sebagai berkata, keputusan undian menunjukkan calon reformis, Masoud Pezeshkian,69, memperoleh 42.4 peratus undi, diikuti calon ultrakonservatif, Saeed Jalili,58, mendapat 38.6 peratus undi.
Dua lagi calon iaitu speaker parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf pula meraih 13.8 peratus undi diikuti Mostafa Pourmohammadi, kurang satu peratus undi.
Data rasmi menunjukkan kira-kira 40 peratus daripada 61 juta pengundi menunaikan tanggungjawab dalam pusingan pertama dengan lebih sejuta kertas undi rosak.
Pengganti Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter bulan lalu bakal terjawab selepas berakhir pemilihan pusingan kedua pada Jumaat depan.
Untuk rekod, Iran pernah berdepan pusingan kedua Pilihan Raya Presiden pada 2005.