SMART berjaya keluarkan 20 mangsa gempa bumi di Turkiye
GAZIANTEP, Turkiye – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya menemukan 12 lagi mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan dalam gempa bumi selepas hari ketiga menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan penemuan tiga mangsa terbaharu itu adalah di sebuah pangsapuri 6 tingkat yang runtuh di Nurdagi.
Mangsa yang terkorban adalah dua orang dewasa perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan.
Dalam kemaskini terdahulu, Nadma mengumumkan penemuan 9 mangsa dalam operasi bersama Disaster and Emergency Management Authority (AFAD) dan Local Emergency Management Authority (LEMA) di beberapa lokasi di daerah yang sama.
“Operasi dimulakan di 920 Nula, Sk Nurdagi, Gaziantep di mana sembilan mayat berjaya dikeluarkan dengan kaedah memotong dan memecah menggunakan peralatan khas serta bantuan anjing pengesan.
“Mangsa yang dikenal pasti adalah masing-masing seorang bayi perempuan, kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki dan lima wanita dewasa serta dua lelaki dewasa,” kata hantaran itu.
Semalam, pasukan MAS-01 SMART turut menemui lima mangsa di runtuhan bangunan tujuh tingkat di Nurdagi, Gaziantep yang disifatkan sangat rumit ekoran struktur runtuhan yang tidak stabil.
Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat. Mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia.
Kumpulan mangsa pertama ditemui SMART adalah tiga mangsa kelmarin.
Malaysia menghantar dua pasukan dalam misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye dengan pasukan pertama berlepas ke negara berkenaan pada malam Selasa lalu, manakala pasukan kedua pula berlepas kelmarin.
Gempa bumi berukuran 7.8 Skala Richter yang berlaku di bahagian selatan Turkiye dan Syria setakat ini telah mengorbankan lebih daripada 20,000 mangsa.