Berita Semasa

Petaling Jaya disasar jadi bandar raya berdaya tahan depani cabaran alam sekitar, komuniti dan ekonomi

PETALING JAYA – Petaling Jaya disasarkan menjadi sebuah bandar raya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi.

Menurut Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon, selaras dengan matlamat tersebut, pembangunan mampan untuk satu tempoh jangka masa panjang disediakan MBPJ iaitu Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya tahan 2030 (Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient 2030 – PJSSR).

“Petaling Jaya dirancang menjadi sebuah bandaraya “a next generation city” yang inklusif, terhubung, kolaboratif, berekologi, sihat, dinamik serta berteknologi digital.

“Selain itu, Petaling Jaya juga dirancang menjadi bandar raya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannva bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling dan Prapelancaran Petaling Jaya International Folklore Festival 2025 di laman MBPJ, di sini, malam tadi. – Foto Facebook MBPJ

Terdahulu, kira-kira 8,000 orang menghadiri kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling dan Prapelancaran Petaling Jaya International Folklore Festival 2025 di laman MBPJ, di sini, malam tadi.

Antara program yang telah dijalankan adalah pertandingan perarakan yang mempertandingkan dua kategori iaitu Majlis Perwakilan Peduduk dan kategori terbuka melibatkan agensi-agensi kerajaan, badan korporat dan institusi pengajian tinggi swasta
(IPTS).

Acara kemuncak itu juga telah diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan
dan nyanyian oleh artis tanah air seperti Fahimi, Victoria Ng, Santesh, Black Mentor, Aisha Retno dan pertunjukan bunga api.

Persembahan Black Hanifah pada Kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling dan Prapelancaran Petaling Jaya International Folklore Festival 2025 di laman MBPJ, di sini, malam tadi. – Foto Facebook MBPJ

Mengulas lanjut, Zahri berkata, 20 Jun merupakan tarikh yang amat bermakna kepada seluruh warga Petaling Jaya kerana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinaik taraf statusnya daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya.

Menurut beliau, Petaling Jaya telah mengalami pembangunan dan perubahan pesat seiring dengan perkembangan teknologi.

“Tahun ini, “Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia” diangkat menjadi tema untuk Sambutan Ulang Bandaraya Petaling Jaya Ke-18.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga telah menerima Anugeran Bandar Paling Bahagia 2024 sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia (Happiness Index) Peringkat Kebangsaan yang bertemakan Bahagia Bersama Malaysia Madani,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahri berkata, MBPJ komited dalam mempertingkatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha mencetuskan dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan warga bandar raya Petaling Jaya.

“Selari dengan visi MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya pintar, mampan, berdaya tahan dan dinamik menjelang tahun 2025, diharapkan sambutan ulang tahun ini dapat memperkukuhkan lagi usaha tersebut dan menggalakkan penglibatan seluruh komuniti dalam merealisasikan visi ini,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button