Berita Semasa

Peluang matrikulasi untuk semua tidak perlu dibimbangkan – Fadhlina

NIBONG TEBAL – Pengumuman kerajaan mengenai jaminan peluang memasuki program matrikulasi kepada semua pelajar yang mendapat 10 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak perlu dibimbangkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berita yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah sesuatu yang baik kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan cemerlang untuk mendapat tempat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas pengumuman yang penting dan bermakna ini.

“Ini adalah jaminan bahawa pelajar cemerlang SPM akan melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi tahun ini.

“Ia adalah jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya kepada pemberita di sini ketika mengulas mengenai perkara itu.

Perdana Menteri hari ini memberi jaminan semua lepasan SPM tanpa mengira kaum dan wilayah yang mendapat keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, bermula tahun ini.

Anwar berkata, keputusan mengenai perkara itu dipersetujui oleh Jemaat Menteri pada mesyuarat Jumaat lalu dengan jaminan tidak akan mengganggu kuota pelajar Bumiputera.

Katanya, butiran mengenai keputusan ini akan diperincikan oleh Fadhlina esok.

Show More

Related Articles

Back to top button