Gagal siapkan JENDELA, beberapa kontraktor pelaksana akan dikenakan penalti
KULAI – Beberapa kontraktor pelaksana projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dikenakan penalti susulan kegagalan menyiapkan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu di pedalaman Sabah dan Sarawak dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, projek berkenaan yang sepatutnya disiapkan pada tahun 2022, masih lagi berjalan dengan beberapa kontraktor terlibat berada dalam tempoh lanjutan masa untuk menyiapkan baki 20 peratus kawasan yang belum dilaksana.
“JENDELA fasa satu masih dilaksanakan. Masih ada kontraktor yang belum siap. Hari Jumaat lalu saya ke Sarawak untuk tinjau perkembangan JENDELA fasa satu.
“Sekarang semua (kontraktor pelaksana) yang belum siap di bawah tempoh lanjutan masa, jadi kami tidak puas hati kerana sepatutnya (JENDELA fasa satu) telah siap 2022.
“Kementerian akan mengenakan penalti terhadap beberapa kontraktor pelaksana yang dikenal pasti atau kita kaji semua kontrak tersebut,” katanya pada Program Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pejabat Pendidikan daerah Kulai, di sini hari ini.
Kementerian juga katanya, sedang mengkaji teknologi terkini termasuk satelit untuk digunakan di kawasan pedalaman kerana penggunaan gentian optik tidak sesuai daripada segi kos.
JENDELA dilancarkan pada September 2020 dengan tujuan mewujudkan sambungan digital yang mantap dan mampu milik dengan liputan jalur lebar berkualiti serta menyediakan akses internet merentasi semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
Sasaran lain termasuk melebarkan akses jalur lebar gentian optik di sembilan juta premis, mengembangkan liputan 4G kepada 100 peratus kawasan berpenduduk dan meningkatkan kelajuan jalur lebar kepada 100 Mbps menjelang akhir 2025.