Berita Semasa

CBP umum dividen 6.5 peratus

CYBERJAYA – Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) hari ini mengumumkan kadar dividen bagi Syer Biasa adalah sebanyak 6.50 peratus manakala Syer Keutamaan (iRCPS) sebanyak 6.78 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar dalam satu kenyataan berkata, pengumuman kadar dividen bersih bagi tahun 2023 ini melibatkan agihan peruntukan sebanyak RM63.97 juta yang akan memanfaatkan 93,798 anggota CBP dan pemegang syer yang layak.

Katanya, pembayaran dividen telah dilakukan sebaik sahaja tamatnya Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) yang diadakah hari ini dan para anggota boleh membuat semakan akaun simpanan melalui aplikasi HELOCBP.

“Dengan prestasi yang cemerlang ini, CBP berada di landasan yang tepat seperti Pelan Perancangan Strategik 5 Tahun 2022–26 dan CBP dalam perancangan untuk menerbitkan sukuk bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan perniagaan yang pesat,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Tambanhnya, berikutan permintaan yang tinggi, langganan syer CBP bagi penambahan atau permohonan baharu kini dibuka semula kepada semua yang layak (maksimum RM5 juta bagi individu dan 20 peratus dari jumlah syer CBP bagi koperasi) bermula 1 Julai 2024 sehingga 31 Disember 2024.

“Selain daripada itu CBP juga turut merancang bagi membuka semula bagi langganan Syer Keutamaan (iRCPS) seperti sebelum ini sebahagian daripada pelan pengurusan modal CBP,” katanya.

Beliau kemudiannya menambah, perancangan dalam pelan strategik CBP seterusnya adalah untuk memberi tumpuan kepada pertumbuhan bukan organik dan pengembangan dalam perkhidmatan digital.

Show More

Related Articles

Back to top button