Bas persiaran terbabas lalu terbalik, 2 maut, 19 cedera
KUALA LUMPUR – Dua penumpang maut manakala 19 lagi cedera selepas bas yang dinaiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 16.5, jalan turun dari Genting Highlands, Pahang pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 10.43 pagi.
Susulan itu, sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, BBP Genting Highlands dan Unit Kebakaran Genting telah dikerah ke lokasi kejadian.
Sejurus tiba, pihak terbabit mendapati dua penumpang tersepit di dalam bas persiaran berkenaan manakala 19 orang mangsa dibawa keluar daripadanya.
Dua mangsa yang dilapor tersepit di dalam bas itu kemudian disahkan meninggal dunia dan mayat kini telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, pemeriksaan lanjut mendapati bas tersebut membawa 11 penumpang lelaki dan tujuh wanita warga China.
Selain itu, tiga lagi mangsa pula adalah pemandu dan dua pemandu pelancong warga tempatan.
Pada masa ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.