6 cedera dalam pertembungan 2 kenderaan
KENINGAU – Enam orang cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Batu 11, Jalan Keningau-Sook, di sini semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Raizaain Ag Damit berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang bertembung dengan sebuah lori muatan tiga tan.
Katanya, sembilan orang pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau telah dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera Fire Rescue Tander (FRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Lima orang mangsa dari kereta Proton Saga yang mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital berdekatan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menaiki ambulan sebelum pasukan bomba tiba.
“Manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki yang turut tercedera berada di kenderaan lori telah diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital dengan menaiki kenderaan unit tersebut bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 berhubung insiden itu pada pukul 7.23 petang.