PM X

Isu jualan sebahagian saham MAHB: PM ingatkan penjawat awam tidak termakan dakyah pembangkang

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada penjawat awam di negara ini agar tidak termakan dengan dakyah pembangkang berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut Perdana Menteri, penjawat awam sewajarnya perlu cakna mengenai isu tersebut dan bukannya menghadiri ceramah politik yang dianjurkan oleh pemimpin yang memaki hamun dan memfitnah kerajaan.

“Rakan-rakan penjawat awam harus ikuti (isu MAHB), bukan ceramah politik maki hamun orang, dajalkan orang, kafirkan orang.

“Di Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam daripada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat Yahudi. Ikut sahaja cakap ustaz, pakai kopiah dan jubah, tetapi fitnah terang-terang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, penjualan pegangan saham dalam MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) telah melalui syarat yang ketat.

Menurut Anwar, Khazanah Nasional Berhad menetapkan kriteria ketat termasuk, Pengerusi dan CEO mestilah warganegara Malaysia, di samping pegangan majoriti adalah milik kerajaan.

Oleh sebab itu, Anwar berkata, GIP dipilih sebagai rakan perniagaan bagi urus niaga tersebut kerana syarikat lain yang berminat termasuk dari Singapura, menginginkan lebih banyak kawalan ke atas pengurusan, sekali gus tidak dapat diterima.

Selain itu, Anwar turut mempersoalkan mengapa pelaburan BlackRock dalam MAHB menjadi isu ketika ini, sedangkan penglibatan syarikat itu sudah berlaku sejak 2021.

Show More

Related Articles

Back to top button