Jenayah & Mahkamah

Bot cuba seludup 1,150 liter petrol ditahan

SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah bot pancung selepas disyaki cuba menyeludup keluar 1,150 liter petrol di perairan, di sini semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam operasi telah mengesan sebuah bot mencurigakan menuju ke Pulau Taganak, Filipina pada sekitar pukul 6 petang.

Katanya, suspek dipercayai sempat melarikan diri selepas berjaya memecut laju menuju ke perairan cetek berhampiran pantai Pulau Berhala.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot yang ditinggalkan itu telah didaftarkan atas lesen perikanan.

“Hasil pemeriksaan lanjut pula telah menemukan 46 tong disyaki berisi 1,150 liter minyak petrol tanpa permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah.

Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan bot dianggarkan berjumlah lebih RM16,000.

Kesemua rampasan terbabit telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button