Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bekas timbalan pengurus didakwa terima rasuah RM43,900

PUTRAJAYA – Seorang bekas timbalan pengurus geran di sebuah syarikat yang mengandung enam bulan berdepan dua pertuduhan rasuah berkait penganjuran konsert kumpulan Search dua tahun lalu.

Tertuduh Noorfadhilah Mohd Idris, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di depan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suatu suapan bernilai RM30,000 sebagai upah membantu mendapatkan kelulusan Geran Dana Kandungan Digital bagi syarikat Playmad Sdn Bhd.

Geran itu adalah untuk penganjuran Konsert Double Trouble 2 dan dengan itu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Noorfadhilah didakwa menerima bagi diri sendiri suatu suapan iaitu cek tunai sebanyak RM13,900 daripada akaun Hong Leong Bank milik Anggerik Event Sdn Bhd sebagai upah kelulusan geran yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Setapak di Taman Setapak Indah Jaya antara Januari dan 11 Sept 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tetapi, peguam Mohd Zali Shaari memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sedang mengandung lapan bulan dan tidak bekerja disebabkan kes itu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua tuduhan berserta syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Ogos ini.

Hasil semakan mendapati Konsert Double Trouble 2 dijayakan dua band gergasi, Search dan Barbarik pada Ogos 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button