Pelaburan USD2.2 bilion Microsoft bawa impak signifikan kepada negara – Gobind
KUALA LUMPUR – Pelaburan Microsoft di Malaysia akan membawa impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi digital, pembangunan bakat, serta kemajuan teknologi tempatan.
Menteri Digital, Gobond Singh Deo berkata, pengumuman pelaburan bernilai USD2.2 bilion itu turut mencerminkan keyakinan Microsoft terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital yang dinamik serta diiktiraf oleh pelbagai pihak di peringkat global.
“Kementerian Digital berharap supaya pelaburan ini akan menjadi aspirasi dan penanda aras kepada industri lain bagi memacu inovasi, menggalakkan pembangunan bakat digital dan memacu perjalanan Malaysia ke arah menjadi hab digital global,” kata Gobind di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Richard Rapu @ Aman (GPS-Betong) mengenai manfaat komitmen pelaburanyang diumumkan oleh Microsoft terhadap potensi digital Malaysia, dan rancangan khusus
untuk memastikan peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi yang dihasilkan melalui pelaburan ini dapat dirasai secara menyeluruh termasuk di Sarawak.
Mengenai Sarawak, Gobind berkata, kesan limpahannya akan dapat dirasakan menerusi pewujudan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor digital, yang mana akan dapat menyumbang dalam penambahbaikan ekosistem data terbuka serta perkongsian data minyak dan gas melalui Open API serta penciptaan robotik baharu.
“Justeru, perkara ini dapat menyokong pendigitalan platform luar pesisir di mana juruteknik akan beroperasi dari darat untuk menyokong aktiviti luar pesisir, seterusnya mengurangkan jumlah kebergantungan jurutera di
atas platform,” katanya lagi.