Baling batu ke arah bas penyokong bola sepak, 2 lelaki ditahan
KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan selepas disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong bola sepak Perak, di Lebuhraya NKVE (arah utara) semalam.
Menerusi satu klip video tular di aplikasi X, suspek terbabit dipercayai ditahan penyokong Perak di sebuah stesen minyak sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.49 malam kelmarin.
“Laporan polis dibuat berkaitan insiden dua lelaki tempatan menaiki motosikal telah membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong sebuah kelab bola sepak, sewaktu melalui Lebuhraya NKVE menghala ke utara.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa bas berkenaan membawa penyokong selepas selesai menyaksikan Perlawanan Bola Sepak Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
“Suspek yang menaiki motosikal telah membaling batu ke arah bas selepas selesai perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Shahrulnizam berkata suspek masing-masing didapati berusia 17 dan 20 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.