Copa America 2024: Mexico, Venezuela buka kempen dengan kemenangan bergaya
HOUSTON – Mexico memulakan kempen Copa America 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan Jamaica 1-0 di Stadium NRG, pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan sudah cukup menjinakkan Jamaica untuk Mexico membawa pulang tiga mata penuh.
Pemain pertahanan, Gerardo Daniel Arteaga melepaskan satu rembatan deras pada minit ke-68 untuk menewaskan penjaga gol Jamaica sekaligus memberikan gol kemenangan.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan tiga mata penuh buat Mexico menduduki tempat teratas Kumpulan B.
Sementara itu, Venezuela menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ecuador dalam satu lagi aksi Kumpulan B Copa America 2024 yang berlangsung pagi tadi.
Ecuador terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas kapten mereka, Enner Valencia, dilayangkan kad merah pada minit ke-22.
Namun begitu, Ecuador berjaya mendahului perlawanan pada babak pertama menerusi jaringan Jeremy Sarmiento sebelum rehat.
Pemain gantian Jhonder Cadiz menyamakan kedudukan pada minit ke-64 hasil umpanan Salomon Rondon, susulan lontaran ke dalam yang pantas.
Sepuluh minit kemudian, Eduard Bello menjaringkan gol kemenangan Venezuela, memastikan pasukan bimbingan Rafael Dudamel itu memulakan kempen Copa America dengan kemenangan bergaya.