Berita SemasaSukan

Ronaldinho tarik balik kenyataan, tetap penyokong sejati Brazil

RIO DE JANEIRO — Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho, menafikan kenyataan terdahulunya yang beliau tidak lagi akan menyokong Brazil dalam kejohanan Copa America yang bakal bermula minggu depan.

Ketika menjelaskan apa yang dimaksudkannya sebelum ini, Ronaldinho berkata ia merujuk kepada pendirian penyokong Brazil ketika itu dan tidak datang dari lubuk hatinya.

“Saya tidak akan mengabaikan bola sepak Brazil, tidak akan sesekali. Saya tidak akan pernah katakan perkara seperti itu.

“Sebenarnya, kata-kata itu datang daripada penyokong Brazil sendiri. Itulah komen sebenar yang saya baca dalam internet.

“Bayangkan mendengar mesej seperti itu sebelum anda bermain. Motivasi akan jatuh… sokongan penyokong memberikan perbezaan yang besar buat pemain.

“Saya tahu apa yang sedang saya katakan. Apa yang pemain kita perlukan ketika ini adalah sokongan.

“Lebih keyakinan yang kita tunjukkan, lebih keyakinan akan mereka tampilkan di atas padang,” katanya melalui hantaran di laman sosialnya.

Ronaldinho Gaucho dalam kenyataan beliau di Instagram.

Terdahulu, Ronaldinho mencetuskan kontroversi apabila menyatakan sudah bosan dengan pasukan Brazil dan tidak akan menyaksikan perlawanan mereka dalam Copa America.

Bekas juara Piala Dunia 2002 itu menyatakan skuad Brazil kini kurang menunjukkan rasa cinta terhadap jersi yang mereka sarungkan.

Dalam pada itu, pertandingan Copa America akan memulakan kempennya pada 21 Jun ini yang bertempat di Amerika Syarikat.

Perlawanan Brazil dijadualkan akan bertemu Costa Rica, Paraguay dan Colombia dalam peringkat kumpulan untuk Kumpulan D.

Show More

Related Articles

Back to top button