Jenayah & Mahkamah

PDRM terima dua laporan berkenaan dakwaan kebocoran siasatan kes Zayn Rayyan

SHAH ALAM – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dua laporan berkenaan kebocoran kertas siasatan didakwa berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan terbabit masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pembunuhan itu.

“Siasatan lanjut berkaitan masih dijalankan dan yang saya boleh sahkan setakat ini adalah dua laporan telah dibuat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Jelas beliau, perbuatan demikian bukan sahaja mengganggu siasatan kes tersebut malah proses pendakwaan di mahkamah juga terkesan.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati berkongsi kandungan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila tangkap layar maklumat siasatan kes Zayn Rayyan tersebar sehingga mencetuskan kegusaran orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan kes kanak-kanak terbabit.

Susulan itu, pihak polis dikatakan bakal mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menurunkan tangkap layar berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button