Lelaki maut dirempuh tren KLIA Ekspres
SERDANG – Seorang lelaki maut dipercayai akibat dirempuh tren KLIA Ekspres berhampiran Taman Serdang Perdana, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 6.30 petang ketika mangsa berusia 42 tahun melintas landasan berkenaan dipercayai untuk ke rumah rakannya.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.45 malam daripada penyelia pasukan pengawal keselamatan KLIA Expres.
“Hasil siasatan mendapati mangsa menceroboh kawasan berpagar dan masuk ke landasan kereta api untuk melintas ke Jalan Serdang Perdana 5, Seri Kembangan.
“Mangsa dilanggar oleh tren ERL ketika melintas landasan berkenaan dan disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa yang juga warga Bangladesh cuba melintas landasan itu sebelum dilanggar dan mayat mangsa ditemukan di dalam longkang berhampiran lokasi kejadian.
“Tujuan sebenar mangsa melintas di landasan berkenaan masih dalam siasatan namun dipercayai untuk melawat kawanya berdasarkan rakaman percakapan beberapa rakannya.
“Tiada unsur jenayah ditemukan dalam kejadian ini dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat,” katanya lagi.