Kontena terbang : 11 pegawai Kastam ditahan SPRM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu, termasuk 11 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta enam pengarah dan pekerja sebuah syarikat dipercayai terlibat dalam sindiket kontena terbang.
Menurut sumber, SPRM berjaya merampas wang tunai berjumlah RM4.4 juta yang dipercayai hasil daripada aktiviti rasuah yang menyebabkan ketirisan sebanyak RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang baru-baru ini.
“Ini tidak termasuk empat buah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000, sebuah kenderaan Alphard bernilai lebih RM200,000; sebuah kereta BMW terpakai, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai,” katanya.
Hasil siasatan turut menahan seorang ‘runner’ dan kekasihnya yang juga terlibat dalam aktiviti rasuah itu.
Dalam pada itu, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu dengan nilai anggaran RM2 juta telah dibekukan.
“SPRM juga sedang mengesan akaun-akaun lain yang dipercayai digunakan oleh sindiket ini,” katanya.
Sementara itu, SPRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memeriksa 19 kontena yang disita.
Hasil pemeriksaan, sindiket tersebut didapati membuat pengisytiharaan palsu bagi mengelakkan cukai, penemuan barang-barang seperti lampu LED, panel solar, aksesori motosikal dan kereta, pakaian dan bahan makanan, termasuk daging babi proses dalam tin.
Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, beliau mengesahkan penahanan itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta AMLATFPUAA 2001.
“Tindakan mengesan dalang utama sindiket sedang giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama agensi luar negara,” katanya.
Beliau menegaskan usaha untuk mengesan dalang utama sindiket itu melalui kerjasama dengan agensi luar negara.