PRK Sungai Bakap: Calon PAS wakili PN
SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) mengekalkan calon daripada PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon yang mewakili perikatan itu akan diumumkan pada 15 Jun depan.
“Dahulu pun PAS yang bertanding, jadi ia kerusi PAS dan kita akan kekalkan kerusi tersebut kepada PAS .
“PAS akan menamakan calon yang akan bertanding di sana dan bagi kita ia juga calon PN.
“Kita akan umumkan calon pada 15 Jun. Selepas itu, calon akan diberikan perakuan (watikah) untuk bertanding di bawah PN,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat PN, di sini semalam.
Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dan pemimpin tertinggi yang lain.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu kerana mengalami keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri juga merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.