Semua Perdana Menteri terdahulu setuju perlu ada penyasaran subsidi – PM Anwar
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan semua Perdana Menteri dalam pimpinan terdahulu bersetuju dengan keperluan penyasaran subsidi, namun tiada tekad politik untuk melaksanakannya.
Berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan tiada pilihan dengan perlu mengambil jalan terbaik walaupun ia membebankan dari sudut politik.
“Apa pun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan dari segi pandangan politik tetapi dalam pertimbangan kerajaan, kita harus buat keputusan yang baik,” katanya.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, penarikan subsidi diesel hanya melibatkan golongan ‘maha kaya’, industri-industri besar dan warga asing di negara ini.
“Kita harus faham bahawa langkah sebaiknya adalah memberi bantuan kepada mereka yang berhak. Diesel bagi nelayan, pekebun kecil, pengangkutan awam, bas sekolah, pekebun sayur itu diteruskan.
“Ditarik subsidi, bukan dinaikkan harga. Ditarik subsidi bantuan daripada golongan maha kaya dan orang asing itu yang kerajaan lakukan.
“Sementara kita harus bantu rakyat, kita tidak perlu beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri-industri besar dan warga asing. Bukan diskriminasi kepada warga asing sebabnya warga asing tidak bayar cukai,” katanya lagi.
Sementara itu, Anwar turut menyambut baik pendekatan yang diambil oleh parti pembangkang khususnya Pas yang dikatakan tidak menentang pelaksanaan subsidi bersasar tersebut.
“Kenyataan daripada pimpinan Pas itu agak lunak tidak menentang hanya memantau dan tiada masalah kerana pembangkang perlu memantau pelaksanaannya dan kita (kerajaan) juga perlu pantau,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai.
Beliau berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter
di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.
Bermula semalam, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel yang memenuhi kriteria akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama bawah inisiatif Budi Madani
Jelas Amir Hamzah, penyasaran semula subsidi yang dilakukan kerajaan adalah bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja menerima nya dan pada masa yang sama menghentikan ketirisan.