Menteri Kabinet Perang Israel letak jawatan
BAITULMAQDIS – Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz meletak jawatan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kelmarin.
Menurut laporan media tempatan, bekas jeneral dan Menteri Pertahanan Israel itu mengumumkan peletakan jawatan selepas tuntutannya pada bulan lalu supaya rancangan pasca perang untuk Gaza diluluskan Netanyahu tidak dilaksanakan.
Meskipun, tindakan Gantz itu meningkatkan tekanan domestik terhadap pemimpin Israel ketika masih bergelut dengan perang di Gaza, ia dijangka tidak menyebabkan kejatuhan kerajaan yang terdiri daripada gabungan parti agama dan ultra nasionalis.
Bagaimanapun, langkah itu memberi tamparan politik kepada Netanyahu selepas lapan bulan perang Gaza menentang kumpulan Hamas di Palestin.
Sementara itu sejurus selepas pengumuman dibuat Gantz, Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben-Gvir menuntut kedudukan dalam Kabinet Perang.
Ben-Gvir adalah sebahagian daripada gabungan sayap kanan yang mengancam untuk berhenti dan meruntuhkan kerajaan jika Israel menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.