4 lelaki ditahan Maritim Malaysia, terlibat aktiviti bom ikan
LAHAD DATU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan empat orang lelaki selepas disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan daerah ini, semalam.
Pengarahnya, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan dua bot pam menerusi aduan awam yang diterima pada pukul 6.16 petang dan 6.31 petang hari yang sama.
Katanya, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu kemudian ditahan ketika dipercayai sedang melakukan aktiviti mengebom ikan di lokasi 2.2 batu nautika di selatan Pulau Kun Kun.
“Pemeriksaan lanjut empat kru bot tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dipercayai suku Palauh dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah.
“Turut dirampas dua enjin bot, dua hos beserta kompresor dan dua botol bom ikan. Nilai semua rampasan berjumlah lebih RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 membabitkan aktiviti menangkap ikan guna bahan letupan, racun dan sebagainya.
Dalam pada itu, Suzanna menasihatkan komuniti maritim terutamanya di Sabah supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah membawa kesan negatif.
“Terutama kepada ekosistem akuatik dan juga membahayakan nyawa serta aktiviti menyelam.
“Maritim Malaysia Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan ini supaya terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan mahupun sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut,” ujarnya.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.