Mungkin ada pegawai tinggi terlibat skandal daftar kahwin -SPRM
SERI ISKANDAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak penglibatan pegawai-pegawai peringkat lebih tinggi dalam kes pendaftaran pasangan berkahwin di Thailand.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci berhubung skandal rasuah susulan penahanan tiga individu termasuk pendaftar perkahwinan di sebuah jabatan di Perlis, Rabu lalu.
“Dalam kes ini tiada keperluan untuk siasat apa sebab mereka bernikah di Thailand tetapi yang lebih penting adalah siapa yang terlibat atau pasangan yang terlibat apabila balik ke Malaysia,” katanya.
SPRM pada Rabu lalu menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun dipercayai menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat bagi membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan mereka di jabatan agama negeri.
Suspek dipercayai terlibat dalam sindiket itu sejak dari tahun 2022 sehingga 2023 dan telah menerima wang rasuah berjumlah RM1.18 juta.
Azam berkata, pihaknya akan membekukan akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan.