Berita Semasa

Hari TVET Negara capai objektif, bantu lepasan TVET dapat pekerjaan

BANTING – Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2024 berjaya mencapai objektif dalam menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan TVET dan juga hala tuju pendidikan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Inisiatif berkenaan bukan sahaja memanfaatkan golongan muda bahkan kesemua 48 pempamer mengambil kesempatan itu untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk mereka kepada umum.

Pembantu Pengurus Bahagian Pengurusan Pelatih Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES), Asmawi Shamsinar berkata, program tersebut membantu pihaknya memberi pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam bidang TVET penerbangan.

Pembantu Pengurus Bahagian Pengurusan Pelatih Malaysia Airlines Berhad Enginering Services (MABES), Asmawi Shamsinar.

Pengunjung mencuba simulasi penerbangan yang disediakan oleh Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (Mabes) pada Hari TVET Negara di ILP Kuala Langat, Selangor.

“Selepas COVID-19, kita boleh lihat bahawa industri penerbangan ini sudah mula berkembang semula di mana permintaan dari segi tenaga kerja dalam bahagian juruteknik dan jurutera itu amatlah tinggi sekarang.

“Semoga melalui program TVET ini dapat menambah lagi tenaga kerja mahir dalam bidang penyelenggaraan pesawat ini,” katanya.

MABES katanya menawarkan pelbagai latihan dalam bidang penyelenggaraan pesawat kepada graduan TVET dan juga lepasan SPM.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pengusaha TVET dapat sama-sama menyokong dan merealisasikan aspirasi kerajaan.

“Maksudnya, kita majukan TVET ini kerana ia merupakan salah satu langkah bagi menunjukkan bahawa kita mempunyai satu tahap dan kemahiran yang diiktiraf bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara,” ujarnya.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Teknologi Malaysia (TAM), Vasan Mariappan turut mengalu-alukan penglibatan pelajar dalam persatuan mereka untuk mendapatkan maklumat terkini berkait dengan industri kejuruteraan.

Jelas Vasan, pihaknya menawarkan keahlian TAM percuma sempena sambutan tersebut yang dibuka kepada semua peringkat umur tanpa syarat atau kelayakan.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Teknologi Malaysia (TAM), Vasan Mariappan.

“Harapan kami melalui program TVET ini adalah lebih banyak pelajar dapat menjadi ahli TAM. Ia akan memberi satu laluan yang mudah untuk menjadi seorang ahli teknologi melalui keahlian ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menyifatkan inisiatif sambutan ini mampu meningkatkan ekonomi negara menerusi pengemaskinian teknologi terkini yang diperlukan oleh industri.

Sementara itu, Pengarah Kanan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Technology Sdn Bhd, Rosman Ahmad pula berkata pihaknya menawarkan sijil antarabangsa melalui program latihan yang ditawarkan.

Pengarah Kanan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Technology Sdn Bhd, Rosman Ahmad.

“Program utama yang kami ada di CIDB Technology Sdn Bhd adalah Wielding, Blasting and Painting dan Non-Destructible Testing di mana ketiga-tiga program ini telah mendapat pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) 17024,” ujarnya.

Rosman turut menekankan bahawa program TVET dapat memberikan peluang pekerjaan bergaji lumayan kepada mereka yang menyertainya.

Beliau mengambil contoh salah seorang ahli keluarganya yang merupakan pelajar lepasan SPM kini mendapat pekerjaan bergaji lebih RM40,000 selepas mengikuti latihan sebagai pemeriksa kimpalan dan telah bekerja di beberapa syarikat di luar negara.

Show More

Related Articles

Back to top button