Berita Semasa

DKN2030 sasar pendapatan koperasi meningkat hingga RM60 bilion menjelang 2025

KOTA KINABALU – Pendapatan koperasi disasarkan meningkat sehingga RM60 bilion menjelang 2025 menerusi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang bakal dilaksanakan, pendapatan tersebut seterusnya dijangka mencecah hingga RM100 bilion menjelang 2030.

“Bagi memperkukuh gerakan koperasi, DKN2030 telah menggariskan peranan koperasi melalui teras strategik antaranya merangsang pembangunan keusahawanan bersepadu dan holistik yang memberi fokus koperasi sebagai pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program Pemantapan Rangkaian Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi Sabah 2023 di sini hari ini.

Program tersebut dihadiri lebih 120 peserta daripada 60 koperasi seluruh Sabah.

Kata Ewon, sehingga kini bilangan koperasi di Malaysia adalah sebanyak 15,315 dengan jumlah pendapatan mencecah RM38.5 bilion, dengan sebanyak RM16.99 bilion modal syer serta yuran keanggotaan koperasi direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159.9 bilion.

Tambahnya, pencapaian berkenaan turut memberi kesan yang positif terhadap gerakan koperasi di Sabah, dengan jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,706 dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang.

“Syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta dan aset terkumpul bernilai RM826.44 juta manakala pencapaian jumlah perolehan adalah RM437.15 juta.

“Daripada bilangan koperasi tersebut saya difahamkan sebanyak 441 koperasi terlibat dalam sektor pemborongan dan peruncitan dan saya mengharapkan koperasi ini akan terus dapat menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button