Berita Semasa

Wan Azizah bangga pencapaian Puspanita

PUTRAJAYA – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) berjaya melaksanakan 1,443 program dan aktiviti sepanjang tahun 2023 yang merangkumi aktiviti turun padang dan pembinaan komuniti.

Penaung Puspanita, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan syabas dan tahniah atas pencapaian tersebut kepada semua anggotanya dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) PUSPANITA kali ke-42 hari ini.

“Kehadiran anda semua membuktikan sokongan oleh pihak pengurusan atasan kepada isteri-isteri dan anggota wanita di jabatan terhadap aktiviti persatuan yang mendokong pembangunan diri dan peningkatan sahsiah ke arah yang lebih baik,” katanya dalam ucapan perasmian.

Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA kali ke-42 di Puspanitapuri, Putrajaya.

Beliau turut menekankan pentingnya mesyuarat tersebut sebagai platform untuk berkongsi pandangan dan idea serta meningkatkan kerjasama.

“Sempena mesyuarat ini, Puspanita juga menganjurkan Puspanita-Biz and Digital Summit bertemakan Let’s Go and Grow with Digital”, katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah menyeru agar Puspanita melaksanakan transformasi untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan negara.

“Kita mesti manfaatkan pelbagai sumber dan peluang yang ada seperti kemajuan teknologi terutamanya dalam bidang ekonomi digital dan Artificial Intelligence (AI), bakat-bakat tempatan dan dunia tanpa sempadan,” ujarnya lagi.

Beliau yakin dengan daya saing Puspanita mampu membangunkan sistem dalaman secara in-house.

Mesyuarat Agung tersebut telah dihadiri seramai lebih 700 anggota PUSPANITA dari seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button