Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani diluncurkan secara rasmi oleh PM
PUTRAJAYA – Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani secara rasminya diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Berucap pada majlis peluncuran modul tersebut, Perdana Menteri berkata, Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani adalah berteraskan Perlembagaan.
“Modul ini berteraskan prinsip perlembagaan, sebab itu harus diketahui bahawa perlembagaan itu dirangka oleh pemimpin-pemimpin kita dengan mengambil kira sejarah, kekuatan dan kemudian diperbaiki diperkemas mengikut peredaran masa,” katanya.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta Pengarah Akademi Kenegeraan Malaysia, Mohd Haswandi Ahmad.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, modul tersebut juga menekankan golongan muda pada hari ini agar lebih menghayati dan menghargai jasa pemimpin-pemimpin terdahulu yang berjuang demi kemerdekaan.
“Untuk menilai sumbangan pejuang pemikir lalu bukan semata-mata menyatakan penghargaan atau melupakan mereka, tetapi menyemarakkan semangat yang mereka tanam ini adalah tugas anak-anak muda yang ramai pada hari ini.
“Anak-anak muda harus tahu sejarah kita dengan menyemarakkan semangat yang ditanam bahawa negara ini merdeka. Merdeka untuk berdaulat, merdeka untuk membela nasib rakyat, merdeka untuk meletakkan dasar kenegaraan yang baik, serta menentang rasuah maknanya menyemarakkan semangat baharu.
“Tugas kita di akademi mengenang jasa pejuang-pejuang negara kita dan pejuang pejuang itu tidak semestinya pemimpin-pemimpin kerana tanpa rakyat tidak ada pemimpin-pemimpin berwibawa,” katanya lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa pilihan di tangan rakyat, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat atau rela ia menjadi seperti negara-negara lain yang sedang bergolak.
“Kita boleh buat pilihan mahu jadi ke negara ini hebat atau negara ini seperti beberapa negara lain yang sejarahnya penuh dengan hiruk-pikuk, benci dan permusuhan antara satu sama lain kerana berbeza warna kulit, beza keturunan beza darjat dan berbeza agama.
“Kita boleh pilih untuk melemahkan atau kita pilih yang waras yang bijak yang menerima kekuatan yang ada.
Dalam majlis yang sama, Anwar berkata, masih terdapat segelintir pihak yang berusaha untuk memecahbelahkan perpaduan di negara ini dengan cara memainkan isu perkauman dan agama.
“Masih ada suara-suara yang akan bicara soal yang lebih menyempitkan dari segi kaum untuk membenci yang lain atau menakutkan dan membawa fahaman agama bukan ke arah penyatuan tapi ke arah kebencian,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mengajak orang ramai agar kembali kepada landasan dengan keyakinan, semangat perpaduan, serta semangat kecintaan kepada negara agar Malaysia mampu diangkat sebagai negara hebat.