Berita SemasaSukan

Jojo, pasukan sepak takraw negara terima anugerah khas SAM

KUALA LUMPUR – Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo), skuad regu dan double sepak takraw negara dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 kali ini.

Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Mubarak berkata, pengiktirafan yang akan disampaikan dalam satu majlis diadakan esok adalah atas pencapaian membanggakan atlet tersebut sekaligus mengharumkan nama negara.

“Bakat Jojo mula menjadi tumpuan ketika meraih emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022. Beliau wajar dijadikan contoh buat atlet muda negara.

“Selain itu, semangat juang tinggi ditunjukkan oleh pasukan regu dan double ketika menundukkan Thailand tempoh hari mempunyai nilai tersendiri.

“SAM melihat pencapaian Jojo dan skuad sepak takraw adalah satu sejarah justeru selayaknya mereka dipilih menerima Anugerah Khas ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SAM semalam.

Jojo yang mencatat pencapaian memberangsangkan sejak tahun lalu.

Mei lalu, skuad takraw kebangsaan meraih dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 (ISTAF) yang berlangsung di Stadium Titiwanga, di sini.

Pasukan double dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi memulakan langkah juara dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14 sebelum kecemerlangan itu diteruskan oleh pasukan regu negara.

Skuad regu dibarisi Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam yang masuk sebagai pemain gantian juga berjaya beraksi dengan baik untuk mencatat kemenangan 15-7, 15-12 untuk mengesahkan gelaran juara milik Malaysia.

Dalam pada itu, Jojo, 17 telah menumpaskan Edgar Tabares yang merupakan juara Muay Thai antarabangsa WBC dalam penampilan sulungnya di Primetime US, ONE Championship tahun lepas.

Atlet kelahiran Sarawak yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu melakar sejarah tersendiri apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawannya yang lebih berpengalaman menerusi pukulan ‘knockout’ pada pusingan pertama.

Rentetan kejayaan itu, Jojo belum pernah mengalami kekalahan dengan empat kemenangan berturut-turut selain ditawarkan kontrak bernilai US$100,000.

 

Show More

Related Articles

Back to top button