Seorang lelaki nyaris maut kenderaan terjatuh dalam parit, ditenggelami banjir
KANOWIT – Seorang lelaki terperangkap selepas kenderaan dinaikinya terjatuh ke dalam parit dan ditenggelami air banjir di Jalan Lukut Penyulau, di sini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pada pukul 2.08 pagi.
Pegawai Bomba Kanan II, Awang Johari Awang Onget berkata, seramai tujuh orang anggota dikerah ke lokasi kejadian menaiki jentera FRT dan DMAX bagi merentasi paras air banjir yang tinggi.
“Bagaimanapun, pasukan keluaran operasi (PKO) Kanowit mendapati paras air yang tinggi dan kenderaan bomba tidak dapat melalui jalan tersebut.
“PKO Kanowit menghubungi Balai Polis Kanowit untuk memohon bantuan kenderaan polis yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Jelas beliau, kenderaan polis yang dihubungi itu juga gagal meredah banjir tersebut.
Susulan itu, anggota terbabit terpaksa berjalan kaki meredah banjir paras pinggang untuk menghampiri mangsa pada jarak 100 meter.
“Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat,” ujarnya.