Berita Semasa

Peserta kursus asas PGA meninggal dunia akibat strok haba

IPOH – Seorang peserta Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (KAPGA) Siri 1/2024 meninggal dunia semalam dipercayai akibat strok haba.

Lans Koperal Mohd Zulkifly Rozak, 31, dari Platun 6, Kompeni B Batalion 7 PGA, rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan itu di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, dekat sini Khamis lepas, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Komandan Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafiz Kadir yang mengesahkan perkara itu berkata sebelum dibawa ke HRPB, mangsa yang rebah ketika merentas desa dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan dengan menaiki ambulans.

“Ketika itu, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terus dirujuk ke HRPB, mangsa kemudian ditidurkan pada sebelah malam ketika di HRPB.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudian disahkan meninggal dunia semalam,

“Punca kematian Mohd Zulkifly disahkan oleh doktor akibat strok haba dan kegagalan organ,” katanya hari ini.

Mohammad Hafiz berkata, Mohd Zulkifly yang sudah berkahwin, bersama 251 peserta yang lain melapor diri bagi menjalani kursus asas PGA bermula 28 April dan dijangka tamat pada 26 Julai.

Jenazah kemudian dibawa pulang ke Kuala Terengganu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin UniSZA.

Show More

Related Articles

Back to top button