Berita Semasa

CEO Talentcorp terima Anugerah Juara Produktiviti

KUALA LUMPUR – Penganugerahan Juara Produktiviti (Productivity Champion (Leader)) kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TalentCorp, Thomas Mathew merupakan satu contoh teladan kepada semua warga kerja Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensinya dalam mengekalkan momentum produktiviti dan komited dalam mencari penyelesaian yang inovatif.

Demikian kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam ucapan tahniahnya, hari ini.

“TalentCorp telah melancarkan beberapa inisiatif yang membantu memudahkan syarikat di Malaysia. ​​Ini penting kerana ia membantu meningkatkan keyakinan syarikat-syarikat serta keterjaminan perniagaan mereka di negara ini dengan proses yang direka bentuk untuk menyokong operasi mereka.

“Usaha ini menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara, dengan dasar dan inisiatif yang meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, perniagaan dan perdagangan,’ kata Steven dalam satu kenyataan, hari ini.

Anugerah yang diberikan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) tersebut adalah bagi mengiktiraf sumbangan penting TalentCorp kepada peningkatan produktiviti negara melalui kejayaan pelaksanaan projek di bawah Kumpulan Kerja Teknikal Modal Insan (TWGHC).

Ia disampaikan oleh Pengerusi MPC, Datuk Kamaruzzaman Johari, pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Produktiviti, yang diadakan sempena mesyuarat badan induk Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) ke-66, yang terdiri daripada 20 wakil negara anggota, baru-baru ini.

Sementara itu, Thomas turut menzahirkan rasa terima kasihnya kepada jawatankuasa anugerah MPC atas pengiktirafan tersebut.

“Ia bukan perjuangan saya seorang. Saya mempunyai sebuah pasukan yang berdedikasi dan menyokong Kumpulan TalentCorp dengan sepenuh hati untuk memastikan tenaga kerja dan ekonomi negara terus maju.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan kami di KESUMA, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk memberi manfaat kepada negara dan menggalakkan pertumbuhan ekonominya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button